Sekolah Agama Tempat Recycle Budak Nakal?

 Sekolah menengah agama kami terletak agak jauh di pedalaman. 

Jika mahu ke sana, haruslah menggunakan kereta atau motor. Jikalau tertinggal bas semasa keluar outing, jarang-jarang bas akan masuk melalui kawasan sekolah kami selepas Maghrib. Itu menyebabkan kami sangat peka semasa outing, jika masa sudah sampai waktu Asar. 

Di belakang sekolah, ada kebun kelapa sawit yang luas. Luasnya sehingga mencecah hujung kaki gunung yang melatari pemandangan belakang asrama sekolah. Saya anggar tidak kurang 4 hektar ladang kepala sawit itu. 

Untuk sampai ke pekan terdekat, paling kurang 10 kilometer. Kedua-dua arah. Tiada kompromi, jika mahu ke mana-mana, haruslah menaiki bas henti-henti. Atau boleh tumpang teksi sesat yang sejalan nak ke Ipoh.  

Dek kerana sekolah agama itu jauh di pedalaman, barangkali membuatkan para ibu bapa tidak bimbang sangat meninggalkan anak-anak mereka di asrama sekolah. Untuk lari dari asrama, memang penat berjalan kaki. 

Entah mengapa, sejak saya masuk ke sekolah itu, pelbagai kes salah laku yang pelajar lakukan. Semuanya batch-batch yang akan mengambil peperiksaan besar. 

Ada yang menceroboh asrama perempuan, ada kes buli yang teruk. Jika kes menghisap rokok, membawa seluar jean, mendengar walkman dan lagu-lagu lagha itu biasa sangat. 

Pelajar datang daripada pelbagai latar belakang. 

Barangkali tapisan pelajar tidak ketat. Barangkali itulah tujuan sebuah institusi sekolah agama, membasuh dan membersihkan kembali diri pelajar, supaya dapat digunakan semula oleh masyarakat ke arah yang baik.

Pernah satu masa, semasa saya di dalam tingkatan tiga. Pihak sekolah menerima beberapa orang pelajar asing, yang memang warga negara asing, katanya sebagai program pertukaran pelajar. Namun, tiada pelajar sekolah kami yang ditukarkan ke sekolah sana.

Saya sudah lupa dari negara mana beberapa orang pelajar itu datang. Jika tidak silap dari salah sebuah negara Asean. Kemboja atau Vietnam. 

Memang pelik, seorang kerjanya asyik makan saja. Wangnya tidak habis-habis digunakan untuk makan. Sesuai dengan tubuhnya yang besar dan gempal.

Seorang lagi kasar betul perangainya. Kerjanya hendak bergaduh bertumbuk dengan pelajar lain sahaja. 

Hanya beberapa orang yang lain, yang berjenis sedikit. Lebih mudah berinteraksi dengan pelajar tempatan. 

Ada satu kes berlaku, yang melibatkan kecurian wang pelajar tempatan, hingga akhirnya semua pelajar memboikot pelajar negara tersebut. 

Akhirnya, pelajar-pelajar tersebut pindah ke sekolah lain. Mungkin juga negara lain!

Sampai sekarang, saya masih tidak faham, mengapa pihak sekolah mengambil keputusan menerima pelajar tersebut. Oh...



Comments